JASIN, 13 Ogos (Bernama) -- Dua orang peniaga bazar Ramadan terbunuh menakala 17 yang lain cedera dihempap khemah yang diterbangkan ribut di perkarangan Stadium Jasin di sini petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam berkata peniaga yang terbunuh dalam kejadian pukul 5 petang itu ialah Mahadi Mohamad, 40, dari Kampung Gong Merang, Terengganu dan Abdul bin Omar, 73, dari Air Merbau di sini.
"Kedua-dua mangsa cedera parah di kepala terkena khemah sepanjang 20 kaki dan 20 kaki lebar yang diterbang ribut," katanya kepada Bernama.
Mahadi merupakan peniaga martabak manakala Abdul peniaga cendol.
Sebanyak 30 buah khemah didirikan di bazar tersebut.
Che Suza berkata tiga mangsa mengalami cedera parah dan masing-masing di rawat dirawat di Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Pakar Putra dekat sini.
"Manakala 14 lagi cedera ringan dan dirawat di Hospital Jasin sebagai pesakit luar," katanya.
Seorang peniaga yang terselamat, Farim Rosli, 32, berkata ribut yang kuat menerbangkan hampir kesemua khemah di situ.
"Tiba-tiba ribut datang, terbangkan khemah tempat saya berniaga. Nasib baik saya dapat mengelak daripada terkena tiang besi kaki khemah yang diangkat ribut, kalau tidak, tak tahulah macam mana nasib saya," katanya.
Beliau berkata orang ramai dan peniaga bertempiaran lari menyelamatkan diri. "Sepanjang tujuh tahun saya berniaga di sini, inilah kali pertama kami (peniaga) dilanda ribut yang cukup dahsyat, walaupun dalam tempoh yang tidak lama," katanya.
Seorang pengunjung, Fatimah Hassan, 32, berkata ketika kejadian beliau sedang membeli juadah dan keadaan ketika itu begitu kelam kabut dengan masing-masing cuba lari menyelamatkan diri.
"Saya bersyukur kerana tidak cedera walaupun nyaris-nyaris terkena tiang besi kaki khemah," katanya.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Anggota Parlimen Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah, Anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Mohamad Hidir Abu Hassan dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Hassan Rahman melawat mangsa kejadian.
No comments:
Post a Comment