duit poket nourul..
jom exchange link :)
Saturday, August 28, 2010
Peristiwa Pahit Merdeka Masih Segar Di ingatan
GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) -- Setiap kali menjelang 31 Ogos, seorang pesara Tentera Diraja British, setia mengenangkan detik pahit manis perjuangan dalam mencapai kemerdekaan negara dan pengorbanannya menentang ancaman komunis.
Datuk Yahya Shafii, anak Melayu pertama yang menyertai Tentera Diraja British, bersyukur dipanjangkan usia kerana beliau pernah nyaris maut diserang komunis pada hari negara menyambut Merdeka dan diberi rezeki dapat menyambut kelahiran anaknya pada hari yang sama.
Yang penting beliau berbangga kerana perjuangan dan pengorbanannya membantu Malaysia menjadi sebuah negara merdeka yang aman damai.
"Saya pernah tinggal di dalam khemah selama 12 tahun dan pernah terpaksa makan ular sawa dan musang untuk mengalas perut, demi negara tercinta," katanya kepada Bernama.GALERI KENANGAN Yahya, anak kelahiran Kampung Seronok, Pulau Pinang, pernah menyertai 176 operasi menentang komunis sebelum dan selepas Merdeka dan kaki kirinya pernah cedera teruk terkena jerangkap samar. Selepas meninggalkan perkhidmatan tentera awal 1970-an, Yahya menyedari yang beliau banyak pengalaman dan tanda kenangan yang boleh dikongsi dengan rakyat Malaysia. Atas inisiatifnya, beliau menjadikan kediamannya di Batu Maung sebagai Galeri Tentera yang menempatkan koleksi gambar beliau ketika berkhidmat dalam Tentera Diraja British. Galeri yang dibuka sejak 1971 itu merupakan dedikasi khas beliau terhadap perjuangan rakan sepasukannya dalam menuntut kemerdekaan negara.
"Setelah saya pencen, saya terus buka galeri ini, sebagai kenang-kenangan untuk anak cucu, menghargai titik peluh dan darah yang menitis untuk mendapatkan kemerdekaan," katanya.
Katanya satu daripada gambar yang memberi seribu erti ialah ketika mendarat di Sungai Siput, Perak pada 1948 kerana beliau bersama rakan-rakannya merupakan pasukan pertama mendarat di situ.
"Ketika itu kami bergambar bersama-sama dengan meriam yang dinamakan sebagai 'Pembela', meriam yang beroperasi secara manual iaitu menggunakan tenaga manusia," katanya.
Selain itu terdapat di galeri berkenaan gambar-gambar pemimpin tertinggi Tentera Diraja British dan pemimpin komunis, setiap gambar mempunyai kisah sejarah tersendiri.
Galeri itu dibuka percuma dan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dari pukul 10 pagi hingga 6 petang manakala hari Sabtu dan Ahad pada pukul 8.30 pagi hingga 7.30 malam.
Galeri itu dibuka sejak 39 tahun dan dibiayai dengan wang sakunya sendiri dan sumbangan pengunjung.
Katanya pada bulan merdeka ini ramai pengunjung yang datang ke galerinya khususnya pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi tujuan penyelidikan dan kajian.
Dalam perancangan pada masa akan datang beliau berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menambah baik ruang pameran dan gambar-gambar di galerinya.
ASKAR DALAM KELUARGA PENDIDIK
Yahya, 76, merupakan anak lelaki kedua daripada 13 beradik, dan hanya beliau yang menyertai tentera.
"Saya datang dari keluarga pendidik, ayah saya seorang guru dan anak saya juga guru, tiada seorang pun daripada keluarga saya termasuk cucu-cucu saya sekarang ini yang menunjukkan minat dalam ketenteraan," katanya yang bakal menimang cicit pertama Januari depan.
Beliau berkahwin dengan Siti Zaleha pada usia 16 tahun, setahun selepas menyertai tentera dan dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Kini pasangan itu mempunyai 15 orang cucu.
"Anak pertama saya lahir dua jam selepas sambutan kemerdekaan, pada ketika itu saya baru selesai acara perbarisan mendapat telegram menyatakan isteri saya hendak bersalin.
"Saya terus bersiap-siap untuk pulang dan telah menyerahkan senjata ke pejabat dalam perjalanan pulang saya diserang hendap, itu yang dapat luka di dada.
"Ada dua kenangan ketika merdeka iaitu kenangan manis kelahiran anak sulung yang saya namakan Abdul Rahman mengambil sempena nama Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan kenangan pahit nyaris maut terkena tembakan musuh di saat saya tidak bersenjata," katanya.
DULU DAN SEKARANG
Apabila ditanya pengertian kemerdekaan dulu dan sekarang, beliau dengan nada sedih berkata generasi hari ini hanya mahukan keseronokan khususnya ketika sambutan kemerdekaan diadakan tetapi tiada pengisian dalam perspektif merdeka yang jelas.
"Sedih sangat sekarang semua orang kena disuruh setiap hari untuk pasang bendera, tiada lagi kemeriahan pasang bendera seperti satu ketika dulu.
"Mereka (generasi muda) tidak faham perjuangan kemerdekaan yang sebenar, mereka hanya mahukan keseronokan dan keriangan sahaja, kalau pergi buat ceramah mereka hanya beri perhatian pada kisah-kisah yang ngeri sahaja, tetapi kosong," katanya.
Katanya generasi hari ini juga kurang prihatin dengan semangat kemerdekaan oleh itu banyak berlaku gejala sosial.
"Walaupun kita sudah merdeka tetapi generasi muda hari ini masih lagi dijajah dengan anasir tidak sihat tetapi mereka tidak sedar. Kita jangan mudah lupa diri dan rasa selesa dengan kesenangan yang dinikmati sekarang," katanya.
Di akhir perbualan, beliau yang pernah mendapat anugerah daripad Ratu England,berkata kesukaran perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan adalah satu perkara yang dihargai tetapi perjuangan mempertahankan kemerdekaan juga perlu diberi perhatian.
"Hargailah titik peluh dan titisan darah pejuang yang rebah ketika menggalas senjata bermati-matian menuntut kemerdekaan bumi berdaulat ini," katanya.
kredit kepada penulis rencana : lizawati bahanan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment